~TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 1 -50 (Nukilan Dr. Harlina Halizah Siraj) 2~

Nota 11 - 20



  • TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 11 - Beranikan dirimu untuk mempercayai kejujuran suamimu dalam melayari bahtera ini bersama. Sesungguhnya, kepercayaanmu ibarat titisan air yg diperlukan oleh rimbun untuk kekal menghijau. Tanpanya, ia akan layu kekuningan. Namun, suamimu perlu jua diperingatkan - agar cermat menjaga kepercayaan itu ibarat kaca yg mudah retak & calar. Sekali tercalar, mungkin selamanya terluka... 
  • TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 12 - Imbangilah antara kebergantunganmu kepada suami dgn keupayaanmu untuk berdiri di atas kaki sendiri. Pasrahmu yang total hanyalah kepada yg Maha Agung. Saling bergantung, perlu memerlukan adalah perencah kenikmatan hidup bersama. Jikalau masih sendiri-sendiri, apalah erti hidup sebumbung. Sementara dia masih ada di sisi, kita serahkan kemudi bahtera di tangan suami. Namun jika dia harus pergi, kita akan mampu memikul amanah yg ada, InsyaAllah!
  • TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 13 - Dapatkan maklumbalas sejujurnya dari suamimu mengenai akhlak dan tingkahlakumu. Biarkan dia berkata-kata tanpa sebarang gangguan, sekalipun hatimu melonjak-lonjak mahu bersuara membela diri. Mohonlah giliranmu pula memberikannya maklumbalasmu. Pilihlah perkataan terbaik dalam menyusun buah tuturmu. Istiqamah dalam muhasabah, kunci tautan dua hati yg ikhlas mencintai kerana Allah SWT.
  • TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 14 - Ubati segera hatimu yang terluka mendengar pengakuan suamimu : cintanya sudah beralih kepada wanita lain. Jgn pantas menyalahkan dirimu, apatah lagi mengalah dan berundur. Jgn pula biarkan cemburu merasuk diri, mengocak ketenangan & membakar amarahmu. Tenanglah dahulu, santuni emosimu yg terhiris pilu. Biarkan airmatamu mengalir buat seketika. Namun yakinlah, sesungguhnya engkau masih belum kehilangan segala-galanya.
  • TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 15 -Pilihlah tindakan yang bijak dalam menangani kemelut suamimu mahu atau sudah berkahwin lain. Berikannya peluang menjelaskan keadaan. Dapatkan segera bantuan org tengah yg adil & amanah. Berpandulah kepada akal, melebihi emosimu di saat ini. Jgn biarkan dirimu seratus peratus dipersalahkan,kelemahanmu dikatakan punca suami terpaksa mencari yang lain. Ingatlah, suamimu yang sepenuhnya bertanggungjawab atas pilihan dan tindakannya. 
  • TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 16 - Hindarkan nada keras, kasar dan lantang apabila berbicara dengan suamimu. Banyakkan mendengar dari bersuara, kerana sesungguhnya Allah melengkapkan manusia dengan sepasang telinga dan hanya satu mulut sahaja. Janganlah ambil kesempatan dari sifat pendiam dan mengalah suamimu. Berikan rasa hormat dan penghargaan yang sebaik-baiknya. Percayalah, anak-anak sedang memerhatikan kemahiran berkomunikasi kalian berdua!
  • TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 17 - Serahkan anak-anakmu untuk dijaga sepenuhnya oleh ayah mereka (suamimu) sekali sekala. Yakinlah, mereka akan kelihatan gembira, selamat dan masih bernyawa bila engkau kembali. Hampir pasti, cara suamimu amat berbeza dengan gaya rutin kebiasaanmu. Apalah salahnya membiarkan suamimu mempraktikkan kemahiran kebapaannya. Sebaik manapun engkau sebagai ibu, takkan dapat menjadi seorang bapa terbaik untuk anak-anakmu.
  • TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 18 - Hentikan segala kritikan, komen, sungutan dan rungutan terhadap kelemahan dan kekurangan suamimu. Sifat bongkaklah yang menjerumuskan syaitan ke lembah kehinaan dan laknat Allah. Dengan sifat itu jualah syaitan akan merosakkan hubungan perkahwinanmu. Gunakan kaedah penuh hikmah dan merendah diri dalam menegur suamimu. Berikannya peluang dan masa untuk memperbetulkan kesilapan serta ketidakcekapannya selama ini. 
  • TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 19 - Hiasi kediamanmu penuh kesederhanaan, sekalipun engkau mampu menyalutinya dengan kemewahan. Nyamankan hawa segenap ruangan rumahmu dengan alunan tadarus Al-Quran. Hangatkan kedinginan dengan kemesraan ziarah ukhuwwah tetamu yang datang. Hijaukan halaman dengan pepohon yang segar mengiringi zikirmu. Jadikan ketenangan tema utama yang dikongsi bersama dengan semua yang sudi bertandang. 
  • TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 20 - Layanlah ahli keluarga suamimu sebagaimana engkau mahu dia melayani keluargamu. Janganlah tunjukkan kebencian dan rasa kurang senang semasa bersama ipar-duaimu. Hindarkan sebarang pertembungan yang memaksa suamimu memilih antara engkau dan keluarganya. Berikanlah hadiah, sambutlah kedatangan mereka ke rumahmu dengan ramah tamah dan senyuman keikhlasan - nescaya keberkatan rezeki melimpah ruah dalam kehidupan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

~Produk Amway sangat menjimatkan~

Formulasi untuk Wanita Tropical Herbs (60 cap)

~TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 1 -50 (Nukilan Dr. Harlina Halizah Siraj) 5~